Anda tidak sepatutnya berasa sakit apabila menyusukan bayi.  Sekiranya terdapat kesakitan, lazimnya ia boleh diatasi dengan teknik penyusuan yang betul.  Pastikan bayi dilekapkan dengan betul, menyusu dalam persekitaran yang relaks, dan sentiasa bertenang.  Lakukan perkara yang sama jika bayi mengalami kolik.
2.2

Tanda-tanda pelekapan betul

Pelekapan yang betul merupakan kunci pencegahan bagi banyak masalah penyusuan susu ibu.  Berikut adalah beberapa cara untuk memastikan samada bayi dilekapkan dengan betul :-

Perhatikan bayi anda semasa dia menyusu. Jika dia melekap dengan baik, anda dapat melihat perkara-perkara berikut:

  • Mulut bayi terbuka luas
  • Bibir bawah bayi harus lentik keluar
  • Dagu mencecah payudara (atau hampir)
  • Lebih banyak areola kelihatan di sebelah atas mulut bayi berbanding di sebelah bawah
  • Bayi menghisap perlahan-lahan dan berhenti sejenak
  • Pipi kelihatan penuh dan bulat ketika menyusu
  • Anda boleh dengar bayi menelan
  • Bayi melepaskan payudara apabila kenyang
  • Tiada rasa sakit walaupun pada mulanya anda mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan kerana bayi menarik puting dan areola

 

Mulakan semula sekiranya bayi tidak melekap dengan baik.  Untuk menghentikan hisapan, masukkan jari  bersih di antara payudara dan gusi bayi.

Menyusukan bayi dengan selesa

Ibu dan bayi mengambil masa untuk belajar menyusu.  Ia boleh mengambil sehingga 6 minggu untuk memantapkan penyusuan susu ibu. Perkara utama adalah mencari posisi penyusuan yang selesa dan memastikan bayi melekap dengan baik, namun berikut adalah beberapa cara lain yang anda boleh lakukan untuk membuat penyusuan bayi lebih mudah.

 

Susukan bayi dalam keadaan yang tenang dan relaks

  • Menyusukan bayi dalam persekitaran yang relaks dan bertenang sebelum dan semasa menyusukan bayi dapat membantu susu anda mengalir dengan lebih lancar.  Ia turut membantu menenang dan merelakskan bayi anda.
  • Sebelum anda mula menyusukan bayi, anda boleh lakukan beberapa perkara untuk menyediakan minda anda seperti mengambil nafas panjang atau memainkan muzik yang menenangkan. Memalapkan lampu bilik juga boleh membantu.

 

Beg/bakul untuk penyusuan

  • Tempatkan satu bakul di tempat-tempat yang anda selalu menyusukan bayi di rumah  – sebelah katil, di kerusi panjang, dll.  Isikannya dengan botol air, sedikit snek berkhasiat, beberapa majalah, telefon bimbit, kain-kain lap atau lampin kain kapas untuk mengelap susu yang tumpah atau muntah.

 

 Kerusi yang selesa

  • Cari aturan tempat duduk terbaik dan kekalkannya agar anda tidak membuang masa dan tenaga untuk mendapatkan keselesaan semasa menyusukan bayi.

 

  Sokongan tambahan

  • Bangku kaki dan bantal boleh memberi sokongan tambahan. Bagi sesetengah wanita, jenis bantal yang membantu apabila  menyusukan bayi di atas katil ialah bantal lilit atau bantal belakang “suami” yang mempunyai lengan di dua-dua belah bantal.

 

Jika bayi mengalami kolik

Penyebab kolik

  • Terdapat banyak sebab mengapa bayi anda menangis. Corak tangisan mungkin menunjukkan penyebabnya.
  • Kira-kira satu per lima bayi mengalami kolik, lazimnya di antara minggu kedua dan keempat.
  • Mereka menangis dan tidak boleh ditenangkan, selalunya menjerit-jerit, menarik atau meninggikan kedua-dua belah kaki, dan terkentut. Perut mereka kelihatan kembung atau penuh dengan angin.
  • Tangisan boleh berlarutan sepanjang masa, namun selalunya menjadi lebih teruk pada sebelah malam.
  • Penyebabnya kurang jelas. Bayi yang mengalami kolik lazimnya membesar dengan baik, dan tangisan berkurangan selepas 3 hingga 4 bulan. Walau bagaimanapun, ia boleh berpanjangan sehingga usia 6 bulan.
  • Adakalanya, bagi bayi yang menyusu susu ibu, kolik adalah tanda bahawa bayi sensitif kepada sesuatu di dalam diet ibu.
  • Ragam serupa seperti kolik juga mungkin adalah petunjuk bahawa terdapat masalah perubatan, seperti hernia atau penyakit lain.

 

Apa yang perlu dilakukan:

  • Pertama sekali, berjumpalah dengan doktor untuk memastikan bahawa tangisan bayi tiada kaitan dengan sebarang masalah perubatan yang memerlukan rawatan.
  • Bagi ibu yang menyusukan bayi, cuba berhenti mengambil produk tenusu, kafein, bawang, kobis, dan sebarang makanan yang boleh menyebabkan kerengsaan. Jika sensitiviti makanan adalah penyebab ketidakselesaan, kolik akan berkurangan beberapa hari selepas perubahan ini dilakukan.
  • Dukung dan buai bayi anda, tekan perutnya dengan lembut menggunakan tangan anda. Atau, dukung bayi atas bahu anda.
  • Bedung bayi menggunakan selimut besar yang nipis supaya dia rasa selamat dan panas, tetapi tidak terlalu panas.
  • Apabila anda berasa tegang dan bimbang, dapatkan ahli keluarga lain atau rakan untuk menjaga bayi agar anda boleh keluar dari rumah. Walaupun satu atau dua jam berasingan dapat membantu anda relaks dan mengekalkan sikap positif. Tidak kira betapa anda marah atau hilang sabar, jangan sekali-kali menggoncang bayi. Menggoncang bayi boleh menyebabkan kebutaan, kecederaan otak, dan kematian. Maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mengalami kemurungan atau kesukaran untuk mengawal emosi anda, agar dia boleh menyarankan cara-cara yang boleh membantu.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada
1. MALAYSIA. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
2. MALAYSIA. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.