Ibu-ibu pasti ingin meluangkan lebih banyak masa bersama bayi mereka, namun selepas 2-3 bulan, masanya sudah tiba untuk kembali bekerja.  Sememangnya menyusukan bayi apabila kembali bekerja pasti boleh dilakukan dan ibu-ibu digalakkan untuk terus memberi khasiat terbaik kepada bayinya.
2.5

Bagaimana untuk meneruskan penyusuan selepas kembali bekerja

Sebelum Kembali Bekerja

  • Maklumkan kepada majikan anda tentang rancangan anda untuk terus menyusukan bayi, dan bahawa anda merancang untuk memerah susu di tempat kerja.
  • Bertanya dengan konsultan laktasi, atau anggota kesihatan sama ada anda memerlukan pam, dan jenis pam yang sesuai untuk anda.
  • Berlatihlah mengepam susu di sebelah pagi atau pada bila-bila masa payudara anda berasa penuh.
  • Ingatlah bahawa mengepam mengambil masa. Jangan terkejut jika pada peringkat permulaan anda mendapat sedikit susu sahaja.  Lazimnya susu lebih berkesan jika dikeluarkan oleh bayi.
  • Simpan sebarang susu yang anda dapat kumpulkan dalam sukatan kecil (1-2 auns). Bayi mungkin tidak boleh menghabiskan amaun yang banyak dalam sekali penyusuan, dan susu anda adalah sangat berharga untuk dibazirkan.

 

Menyediakan bayi anda

  • Kira-kira 2 minggu sebelum anda kembali bekerja, mula mengajar bayi untuk minum menggunakan cawan atau botol.
  • Berikan susu menggunakan cara ini semasa bayi tidak lapar atau meragam.
  • Minta orang lain, seperti pengasuh atau bapa bayi, untuk memberi susu menggunakan cawan/botol.
  • Jangan memaksa bayi untuk menerima cawan/botol. Jika bayi menolak, berehat dahulu dan kemudian cuba lagi.
  • Dapatkan tempat asuhan kanak-kanak yang mesra penyusuan susu ibu.

 

Mendapatkan sokongan daripada keluarga

  • Maklumkan kepada ahli keluarga/pengasuh betapa pentingnya sokongan mereka dalam keputusan anda untuk menyusukan bayi.

 

Jadual mengepam

  • Perah susu anda setiap 2 hingga 3 jam.
  • Jika anda menggunakan pam dwi elektrik yang memerah susu serentak dari kedua-dua belah payudara, setiap kali mengepam boleh mengambil 20 hingga 30 minit.
  • Mengepam menggunakan tangan atau pam manual akan mengambil masa yang lebih lama.
  • Bersabarlah – anda akan menjadi lebih efisyen apabila anda berlatih.
  • Guna waktu rehat/makan tengahari yang tetap untuk memerah susu.

 

Buat Turun yang Berguna

 

Bagaimana untuk mengatasi keresahan pemisahan

Fakta Mengenai Keresahan Pemisahan

  • Apabila bayi anda menyedari anda sudah pergi, dia mungkin menjadi resah
  • Sesetengah bayi akan menunjukkan keresahan pemisahan seawal usia 4 hingga 5 bulan, kebanyakan bayi mengalami keresahan pemisahan yang kuat sekitar usia 9 bulan.
  • Pemisahan akan menjadi lebih teruk jika bayi lapar, penat, atau tidak sihat.

 

Bagaimana Mengatasi Keresahan Pemisahan

  • Amalkan perpisahan yang pantas. Ucapkan selamat tinggal dengan singkat dan mesra. Jika anda berlengah-lengah, tempoh transisi juga akan berpanjangan.  Begitu juga keresahannya.
  • Konsisten. Cuba tinggalkan bayi dengan amalan dan waktu yang sama setiap hari bagi mengelakkan faktor-faktor yang tidak dijangka.  Rutin boleh menghilangkan kedukaan dan sekaligus membolehkan bayi anda membina kepercayaan terhadap anda dan menerima kebebasannya .
  • Beri perhatian. Apabila mengucapkan selamat tinggal, beri perhatian penuh kepada bayi anda, dan tunjukkan kasih sayang serta belaian.  Kemudian cepat-cepat ucapkan selamat tinggal walaupun dia membuat perangai atau menangis meminta anda jangan pergi.
  • Tunaikan janji anda. Apabila anda tunaikan janji untuk pulang, anda akan membina kepercayaannya apabila anak anda mendapat keyakinan diri dan berdikari.
  • Berikan penjelasan khusus dan gunakan bahasa yang mudah difahami. Apabila anda membincangkan tentang kepulangan anda, berikan maklumat khusus yang anak anda boleh fahami.  Jika anda tahu anda akan pulang pada pukul 4 petang, beritahu kepada anak anda menggunakan bahasa yang dia fahami.  Jelaskan masa dalam cara yang dia boleh faham.  Sebagai contoh, daripada mengatakan pukul 4 petang, katakan ” Selepas bangun tidur”, atau, apabila merujuk kepada kepulangan anda daripada trip perniagaan, jelaskan tempoh sebelum dia berjumpa anda semula dalam bentuk “tidur’.  Oleh itu, daripada berkata “Saya akan pulang dalam masa 3 hari,” katakan, “Saya akan pulang selepas 3 kali tidur.”
  • Berlatih berpisah. Tinggalkan bayi dengan datuk neneknya, aturkan waktu bermain, dan benarkan rakan-rakan dan keluarga menjaga bayi untuk anda (walaupun untuk sejam) pada hujung minggu.  Beri anak anda peluang untuk bersedia, mendapat pengalaman dan berkembang tanpa kehadiran anda!

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada
1. MALAYSIA. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
2. MALAYSIA. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.