Ibu-ibu yang baharu kepada penyusuan susu ibu mungkin akan mengalami beberapa masalah kecil.  Walau bagaimanapun, masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan bimbingan yang betul

2.4

Penat semasa menyusukan bayi

Jangkakan anda akan penat

  • Menjaga bayi amat memenatkan, terutama pada peringkat awal ketika anda sedang pulih daripada proses melahirkan anak. Jangan rasa bersalah jika berasa penat dan cepat marah.  Lagipun, anda hanyalah manusia biasa.

 

Tidur

  • Tidur adalah lebih penting daripada membasuh pinggan, membasuh baju, dan kerja-kerja rumah lain, maka ambillah peluang untuk tidur apabila boleh.
  • Tidur apabila bayi tidur.
  • Cuba untuk tidur sekurang-kurangnya 1 ½ hingga 2 jam pada siang hari dalam 2 hingga 3 minggu pertama.  Beri kepercayaan kepada suami, ibu bapa anda atau pengasuh untuk menjaga bayi anda buat seketika, agar anda mendapat sedikit masa untuk berehat.

 

Penyelesaian sebelah malam

  • Pada sebelah malam, anda mungkin rasa kurang letih jika menyusukan bayi di atas katil.

 

Bantuan daripada suami anda

  • Agihkan beberapa tugasan kepada suami anda, contohnya mendodoi bayi selepas menyusu.

 

Masa “saya”

  • Walaupun untuk 10 minit, pastikan masa itu adalah untuk diri anda sahaja. Masa peribadi ini akan membuat anda rasa sihat dan mengelakkan anda daripada menjadi terlalu letih.
  • Jangan terus mengenepikan hobi dan minat anda . Anda tidak sepatutnya berasa bersalah kerana meluangkan masa berjauhan dari bayi, dan masa “saya” ini membantu mencaj semula bateri anda, dan menjadi ibu yang baik.

 

Bekalan susu tidak mencukupi

Sekurang-kurangnya 95% ibu-ibu boleh menghasilkan banyak susu untuk bayi mereka, tetapi ramai yang bimbang tentang tidak cukup susu.  Cara terbaik untuk memastikan bayi anda mendapat cukup susu adalah dengan memeriksa berat dan pertumbuhannya.

Kerap kali, walaupun ibu-ibu memikirkan bahawa susu mereka berkurangan, sebenarnya susu adalah mencukupi.

Apa yang anda boleh lakukan:

  • Ambil diet yang seimbang dan minum secukupnya.
  • Pastikan bayi anda dilekap dan diposisikan dengan baik
  • Kerap menyusukan bayi dan biarkan bayi tentukan bila untuk berhenti menyusu.
  • Beri kedua-dua belah payudara pada setiap penyusuan. Selagi dia masih menelan dan menghisap dengan aktif, biarkan bayi hisap lama pada payudara pertama.  Berikan payudara kedua apabila bayi mula menghisap perlahan atau berhenti menyusu.
  • Elak daripada memberi bayi anda susu formula atau bijiin kerana ia boleh membuat bayi kurang minat pada susu ibu. Bayi anda tidak memerlukan makanan pepejal sehingga mencapai umur 6 bulan.
  • Had atau berhentikan penggunaan puting kosong kerana bayi anda mungkin tertidur menghisap puting kosong walaupun dia lapar.
  • Maklumkan kepada doktor anda jika anda fikir bahawa bayi anda tidak mendapat cukup susu.

 

Adakah galaktagog diperlukan?

  • Galaktagog adalah makanan, herba atau ubat-ubatan yang dipercayai boleh menambahkan penghasilan susu.
  • Pengambilan makanan tersebut mungkin berkesan hanya jika ia diiringi dengan rangsangan yang cukup untuk menghasilkan susu ibu, sama ada melalui penyusuan yang kerap atau memerah susu.
  • Walaupun terdapat banyak bahan yang diperakui oleh ibu-ibu boleh meningkatkan penghasilan susu, bukti saintifik mengenai keberkesanannya adalah terhad.
  • Banyak budaya mempunyai makanan khas yang dipercayai boleh meningkatkan penghasilan susu. Ia berbeza-beza dan mungkin mengandungi bahan aktif untuk mencapai tujuan ini. Namun, ia belum pernah dikaji secara formal.
  • Prolaktin merupakan hormon utama yang bertanggung jawab bagi menghasilkan susu ibu. Kebanyakan ubat-ubatan bertindak seperti galaktagog dengan meningkatkan paras prolaktin.
  • Galaktagog yang paling lazim ialah halba, Domperidone dan Metoclopramide.
  • Sentiasa dapatkan nasihat doktor atau konsultan laktasi jika anda merancang untuk mengambil sebarang galaktagog.

 

Puting sakit dan merekah

Penyebab utama puting sakit dan merekah ialah pelekapan yang tidak betul semasa menyusu. Ini mungkin disebabkan oleh bayi yang menarik-narik puting keluar dan masuk ketika menghisap, dan kulit bergesel dengan mulutnya.  Ia juga mungkin disebabkan oleh tekanan yang kuat pada puting disebabkan penghisapan yang salah.

Masalah ini selalunya dapat diatasi dengan hanya memperbaiki posisi penyusuan dan pelekapan.  Selalunya, sebaik sahaja bayi dilekapkan dengan betul, kesakitan akan berkurangan dan bayi akan meneruskan penyusuan seperti biasa.

Tidak perlu untuk merehatkan payudara kerana puting akan pulih dengan cepat apabila tidak lagi tercedera.

Puting tenggelam

Simptom

  • Puting tenggelam tidak menjulur keluar melebihi paras areola tetapi sebaliknya termasuk ke dalam. Adakalanya, puting tenggelam tidak boleh menjulur (protraktil) dan tidak memanjang apabila ditarik; sebaliknya hujungnya masuk ke dalam.  Ini menyukarkan bayi untuk melekap. Lazimnya puting menjadi kurang regang semasa kehamilan dan lebih kurang satu minggu pertama selepas bayi dilahirkan.

 

Penyebab

  • Bentuk puting yang berbeza adalah ciri fizikal semula jadi payudara. Puting yang tenggelam dipegang oleh tisu penghubung yang mungkin menjadi kurang regang selepas beberapa kali bayi menghisap.

 

Pengendalian

  • Berbincanglah dengan doktor atau konsultan laktasi sekiranya anda bimbang tentang puting anda.
  • Teruskan penyusuan susu ibu, ingatlah bahawa bayi harus melekap pada puting dan payudara, oleh itu , puting yang tenggelam juga berkesan untuk penyusuan. Bayi lebih berkemungkinan untuk melekap dan menyusu dengan baik sekiranya dia sudah biasa menyusu sejak dari awal. Elakkan penggunaan botol susu dan puting pada ketika ini, kerana bentuknya sangat berbeza daripada puting tenggelam.
  • Selalunya, apabila bayi semakin banyak menghisap lama-kelamaan puting tenggelam akan menjulur keluar. Mencuba posisi menyusu yang berlainan juga boleh membantu bayi melekap.
  • Sekiranya bayi tidak boleh melekap dalam satu atau dua minggu, ibu boleh memerah susunya dan beri menggunakan cawan.
  • Ibu-ibu boleh merangsang putingnya perlahan-lahan menggunakan pam, atau alat menyedut yang ringan seperti picagari.
  • Terdapat juga sejenis alat yang dicipta khas untuk menaik keluar puting tenggelam. Ia tidak melibatkan pembedahan dan menggunakan sedutan untuk merenggang duktus laktiferus perlahan-lahan, sama seperti mengembangkan tisu.

 

Bengkak payudara

Simptom

  • Payudara bengkak, dan kulit kelihatan merah dan berkilat.
  • Lazimnya seluruh kedua-dua belah payudara adalah terjejas, dan sangat sakit.
  • Anda mungkin mengalami demam yang lazimnya reda dalam masa 24 jam.
  • Puting mungkin menjadi tegang dan leper, menyukarkan bayi untuk melekap and mengeluarkan susu.
  • Susu tidak mengalir dengan lancar.

 

Penyebab

  • Kegagalan untuk mengeluarkan susu boleh menyebabkan kongesi, terutama pada beberapa hari pertama selepas melahirkan bayi apabila susu mula memenuhi payudara dan pada masa yang sama, pengaliran darah ke payudara meningkat.
  • Lambat memulakan penyusuan, penyusuan yang tidak kerap, pelekapan yang salah dan penghisapan yang tidak berkesan merupakan penyebab lazim mengapa susu tidak dikeluarkan secukupnya.

 

Pengendalian

  • Susu ibu perlu dikeluarkan. Jika bayi boleh melekap dan menghisap dengan baik, maka anda harus menyusukannya seberapa kerap yang bayi mahu.
  • Jika bayi tidak boleh melekap dan menghisap dengan berkesan, anda hendaklah memerah keluar susu menggunakan tangan atau pam sehingga payudara menjadi lembut, agar bayi boleh melekap dengan lebih baik. Apabila ini berhasil, dapatkan bayi anda untuk menyusu lebih kerap.
  • Anda boleh meletakkan demahan panas pada payudara atau mandi air panas sebelum memerah. Ini  membantu susu untuk mengalir.
  • Anda juga boleh menggunakan demahan sejuk selepas menyusukan bayi atau memerah kerana ia membantu mengurangkan bengkak dan penahanan cecair.

 

Mastitis

Mastitis ialah jangkitan pada tisu payudara.

 

Simptom

  • Terdapat bengkak keras di payudara, dengan kemerahan pada permukaan kulit dan kesakitan yang teramat sangat.
  • Lazimnya hanya sebelah payudara sahaja yang terjejas, berbeza daripada bengkak payudara di mana seluruh kedua-dua belah payudara terjejas.
  • Anda mungkin demam dan rasa tidak sihat
  • Mastitis paling lazim terjadi dalam tempoh 2 hingga 3 minggu pertama selepas melahirkan bayi, namun ia boleh terjadi pada bila-bila masa.

 

Penyebab

  • Lazimnya disebabkan oleh jarak yang lama di antara penyusuan.
  • Penyebab-penyebab lain termasuk pelekapan yang tidak baik dan susu tidak dikeluarkan secukupnya.
  • Bengkak yang tidak pulih.
  • Tekanan kerap pada sebelah payudara oleh jejari atau pakaian ketat, dan trauma.

 

Pengendalian

  • Tingkatkan pengeluaran susu dan cuba perbetulkan mana-mana penyebab khusus yang dikenalpasti.
  • Berehat dan menyusukan bayi dengan kerap serta elakkan jarak yang lama di antara penyusuan. Jika bekerja, ambil cuti sakit, berehat dan susukan bayi.  (Ibu-ibu yang mengalami mastitis tidak seharusnya berhenti menyusu).
  • Letakkan demahan panas.
  • Mula menyusukan bayi pada payudara yang tidak terjejas dahulu untuk merangsang refleks oksitosin dan pengaliran susu.
  • Ubah-ubahkan posisi bayi.
  • Rawatan antiobiotik diperlukan jika simptomnya teruk dan puting pada payudara yang terjejas merekah, atau sekiranya tiada perubahan yang dapat dilihat selepas 24 jam pengeluaran susu diperbaiki. Namun, antibiotik tidak akan berkesan tanpa memperbaiki pengeluaran susu.  Berbincang dengan doktor anda sekiranya berlaku.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada
1. MALAYSIA. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
2. MALAYSIA. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.