Ibu-ibu perlu mengambil diet yang berkhasiat bagi menghasilkan susu secukupnya untuk bayi dan memilih makanan yang betul agar boleh membantu anda mendapat kembali bentuk badan asal. Maka, apakah diet yang ideal untuk ibu yang menyusukan bayi? Adakah terdapat makanan yang perlu dielakkan?

 

2.1

Diet ibu yang menyusukan bayi

Berapa banyak yang anda perlu makan semasa menyusukan bayi bergantung kepada berat badan sebelum anda hamil, dan berapakah penambahan berat badan semasa hamil, serta betapa aktifkah anda.

Amnya, kebanyakan ibu yang menyusukan bayi memerlukan penambahan 500 kalori berbanding wanita yang tidak menyusukan bayi – iaitu sejumlah 2,500 kilokalori (kcal) sehari.

Apabila menyusukan bayi, seperti biasa diet yang sihat dan seimbang adalah penting. Ia harus mengandungi pelbagai makanan dari semua kumpulan makanan dalam Piramid Makanan.

Selain itu, tambahan 2 sajian protein, contohnya seekor ikan saiz sederhana (seperti ikan kembong) dan sebiji telur hendaklah ditambah ke dalam diet sedia ada.

Dalam tempoh penyusuan, keperluan kalsium anda meningkat sebanyak 25%. Ini bermakna anda perlu mengambil lebih banyak makanan yang kaya dengan kalsium seperti produk tenusu (susu, yogurt), produk yang diperkaya dengan kalsium (bijirin sarapan), ikan (sardin, ikan bilis), kacang dan produk kekacang (tauhu, tempeh), dan sayur berdaun hijau.

Pengambilan pelbagai jenis makanan semasa menyusukan bayi akan mengubah rasa susu anda. Malah, sesetengah pakar percaya bahawa bayi menikmati pelbagai rasa di dalam susu ibu mereka, dan ini membantu mereka menerima pelbagai makanan apabila mereka mula makan pepejal.

Minumlah apabila anda rasa dahaga. Air kencing berwarna cerah atau kuning cair menandakan bahawa anda cukup hidrasi.

 

Muat Turun(s)

Carta hidangan kumpulan makanan setiap hari dan sampel rancangan makanan untuk ibu-ibu menyusukan anak

 

Mendapatkan kembali bentuk badan asal

JANGAN cuba untuk mengurangkan berat badan dengan berdiet sehingga sekurang-kurangnya dua bulan selepas melahirkan bayi. Dalam beberapa bulan pertama, diet yang kandungan kalorinya terlalu rendah boleh membuat anda berasa lemah dan mengurangkan penghasilan susu.
Elakkan penurunan berat badan yang drastik. Sebaliknya, kurangkan berat badan secara beransur-ansur dan pada kadar yang tetap iaitu sebanyak ½ hingga 1kg seminggu untuk mengelakkan perubahan pada jumlah dan kualiti susu anda. Anda disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor, pakar diet/pakar pemakanan sebelum memulakan sebarang plan diet atau plan senaman. Penyusuan susu ibu membakar 500 kalori. Susukan bayi secara eksklusif selama 6 bulan (dan meneruskannya sehingga 2 tahun sambil memperkenalkan makanan lain kepada bayi anda), kekalkan diet sihat dan seimbang, tambahkan sedikit senaman ringan (anda boleh tingkatkan intensiti senaman 6 hingga 8 minggu selepas melahirkan bayi). Semua ini akan membantu anda mendapatkan semula berat badan sebelum hamil dengan cara yang sihat.

Makanan yang perlu dielakkan semasa menyusukan bayi

TIADA makanan yang anda harus elakkan hanya kerana anda menyusukan bayi kecuali jika terdapat reaksi ketara pada bayi anda terhadap sesuatu makanan. Kuncinya ialah kesederhanaan. Walau bagaimanapun, jika anda mensyaki terdapat sesuatu di dalam diet anda yang membuat bayi anda meragam lebih daripada biasa, elakkan makanan atau minuman tersebut selama seminggu dan perhatikan jika terdapat perbezaan dalam tingkah laku bayi anda. Jika meninggalkan sesuatu makanan atau minuman dari diet anda tidak memberi kesan kepada tingkah laku bayi, anda boleh mengambil makanan tersebut semula dan fikirkan penyebab lain. Berjumpa dengan doktor anda sekiranya anda bimbang tentang tingkah laku bayi anda.
Kopi dan Kafein

  • Jika anda mengambil jumlah kafein yang banyak (melebihi 5 minuman berkafein sehari), bayi anda mungkin lebih meragam. Ia juga boleh membuat bayi sukar untuk tidur.
  • Ibu yang menyusukan bayi dinasihatkan untuk menghadkan pengambilan kopi dan minuman berkafein, seperti teh, coklat dan kola, tidak melebihi 2 cawan sehari.

Alkohol

  • Alkohol masuk ke dalam susu anda dan sampai kepada bayi, maka adalah lebih baik untuk mengelakkan amalan pengambilan alkohol semasa menyusukan bayi.
  • Sekiranya anda memilih untuk mengambil minuman beralkohol, ambillah selepas anda menyusukan bayi atau perahlah susu sebelum anda mengambil minuman beralkohol. Biarkan jarak sekurang-kurangnya 2 jam sebelum anda menyusukan bayi atau memerah susu semula.

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice