*Klik ‘CC’ pada video untuk sarikata Bahasa Malaysia

Sebagai ibu bapa, salah satu keputusan penting yang anda perlu buat ialah bagaimana untuk menyusukan bayi anda. Untuk membuat keputusan penting ini, anda perlukan maklumat yang betul, nasihat dan sokongan daripada keluarga dan profesional kesihatan. Anda perlu merancang dan bersedia untuk memberi bayi anda segala khasiat yang dia perlukan untuk menjadi sihat dan gembira.

1.1 Para pakar bersetuju bahawa penyusuan susu ibu adalah sumber khasiat terbaik untuk bayi dan kanak-kanak kecil. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan ibu-ibu untuk menyusukan bayi secara eksklusif selama 6 bulan dan meneruskannya sehingga berusia 2 tahun untuk memberi khasiat dan perlindungan terbaik kepada bayi.

Menyusukan bayi anda merupakan benteng pertahanan pertama terhadap jangkitan

Susu ibu mengandungi semua nutrien utama yang diperlukan oleh bayi anda untuk tumbesaran dan perkembangannya. Selain itu, ia mengandungi bahan penting seperti antibodi dan enzim (yang tidak terdapat di dalam formula bayi) yang melindungi bayi daripada penyakit dan membolehkan bayi anda menghadam nutrien-nutrien utama dengan lebih baik.
Terbaik untuk bayi

  • Susu ibu mengandungi kesemua nutrien yang bayi anda perlukan dalam sukatan yang betul.
  • Ia menguatkan sistem imun, mengurangkan risiko mendapat jangkitan saluran pernafasan akut, pneumonia, cirit birit dan alahan.
  • Bayi yang diberi susu ibu adalah lebih cerdik
  • Ia mengurangkan risiko penyakit kronik seperti obesiti dan diabetes Jenis 2

Terbaik untuk Ibu

  • Penyusuan susu ibu mengeratkan kasih sayang antara ibu dan bayi
  • Ia membantu tubuh ibu kembali ke bentuk asal dengan lebih cepat kerana ia membantu membakar kalori tambahan
  • Ia mempercepatkan proses penyembuhan kerana dapat mengurangkan perdarahan selepas bersalin
  • Ia mengurangkan risiko kanser payudara selepas menopaus dan kanser ovari
  • Ia mengurangkan risiko keretakan tulang pinggul dan osteoperosis selepas menopaus

Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermaksud bayi anda diberi susu ibu sahaja. Air, makanan atau minuman lain tidak diperlukan. Bayi yang disusukan secara ekskluisf mendapat manfaat kesihatan terbaik daripada susu ibu. Makanan atau minuman lain, termasuk air, boleh mengganggu penyusuan susu ibu kerana ia mengenyangkan bayi, oleh itu bayi akan kurang menyusu dengan susu ibu. Bayi memerlukan pemakanan dan kalori daripada susu ibu untuk membesar, yang tidak terdapat di dalam air.  

Bagaimana tubuh anda bersedia untuk penyusuan

Bersedia … set … mula !Bagi kebanyakan wanita, tanda-tanda awal mereka hamil adalah perubahan pada payudara mereka. Mereka mungkin mengalami kesakitan, kebengkakan, dan puting serta areola (bahagian kulit mengelilingi puting) menjadi semakin gelap, semua tanda-tanda bahawa tubuh sedang bersedia untuk membekalkan susu kepada bayi yang akan dilahirkan. Biji-biji kecil di atas areola membesar, bersedia untuk menghasilkan minyak semula jadi yang akan membersih, melicin dan melindungi puting semasa hamil dan menyusukan bayi. Minyak ini mengandungi enzim yang membunuh kuman, dengan itu krim-krim payudara tidak diperlukan. 1.1.2 Breast anatomy Seperti yang anda dapat lihat di dalam gambar rajah, duktus yang mengumpul susu terletak di bawah areola. Maka, adalah penting untuk melekapkan bayi pada areola untuk mengeluarkan seberapa banyak susu yang boleh, dan bukan di puting, yang hanya merupakan pembukaan bagi susu mengalir keluar(payudara mempunyai 15-20 pembukaan). Paras prolaktin paling tinggi pada waktu malam. Oleh yang demikian, adalah penting juga untuk menyusu bayi pada sebelah malam untuk mengekalkan bekalan susu yang baik. Satu lagi hormon yang dipanggil oksitosin juga dikeluarkan dan menyebabkan otot-otot yang mengelilingi sel susu untuk memerah susu keluar dan mengalir ke duktus susu. Ini dipanggil refleks turun bebas atau refleks let down, di mana susu mengalir keluar daripada puting. Oksitosin juga membantu ibu relaks. Kesan refleks letdown boleh mengambil beberapa minit, lebih-lebih lagi apabila ibu penat, dalam kesakitan atau stres. Jika payudara kerap tidak dikosongkan secukupnya, ia akan berhenti menghasilkan susu. Saiz payudara tidak mempengaruhi penghasilan susu. Lebih banyak anda menyusukan bayi, lebih banyak susu dihasilkan.

Jenis-jenis susu ibu

Kandungan susu ibu adalah sangat unik di mana ia memenuhi keperluan bayi mengikut tahap perkembangan mereka. Ia berubah daripada kolostrum kepada susu transisi dan seterusnya kepada susu matang. Kolostrum “Susu pertama” ini wujud sebelum kelahiran dan sehingga seminggu selepas bayi dilahirkan. Ia pekat dan melekit dengan warna yang berbeza-beza daripada warna krim kepada jingga. Susu yang mudah dihadam ini kaya dengan protein, vitamin, mineral dan antibodi untuk perlindungan,
maka kolostrum dikenali sebagai “imunisasi pertama”. Ia menggalakkan pergerakan usus awal dan membantu mengurangkan jaundis neonatal. Tidak hairanlah kolostrum kadangkala dikenali sebagai “cecair emas”. Susu Transisi Susu berkrim ini dihasilkan selepas kolostrum, selama lebih kurang dua minggu. Kuantiti susu meningkat, dan kandungannya berubah. Susu ini mengandungi kurang protein dan antibodi tetapi lebih lemak, laktosa dan air. Oleh itu, ia mungkin kelihatan lebih cair daripada susu normal tetapi yakinlah, ia mencukupi untuk memenuhi keperluan bayi baru lahir pada peringkat ini tanpa membebankan organ mereka yang belum matang. Pada peringkat ini, menyusukannya dengan kerap adalah penting untuk mengelakkan payudara menjadi bengkak. Susu Matang Susu peringkat akhir ini dihasilkan pada hampir penghujung minggu kedua selepas kelahiran bayi. Kira-kira 90% adalah air yang diperlukan untuk mengekalkan hidrasi bayi; manakala 10% terdiri daripada karbohidrat, protein dan lemak, dalam sukatan yang betul, kesemuanya diperlukan untuk tumbesaran dan tenaga, serta antibodi, faktor pertumbuhan dan enzim. Susu matang terdiri daripada susu awal dan susu akhir. Susu awal mengalir pada permulaan penyusuan dan kelihatan seperti air barli. Ia mengandungi air, vitamin dan protein. Susu akhir mengalir selepas let down yang awal dan berwarna putih kebiru-biruan. Kandungan lemaknya sangat tinggi dan diperlukan untuk pertambahan berat badan. Semasa penyusuan terus berlangsung, kandungan lemak di dalam susu meningkat. Jumlah masa yang diambil untuk bayi mendapat susu yang berlemak di akhir penyusuan berbeza dari bayi ke bayi. Oleh itu, adalah penting untuk TIDAK menukar payudara apabila bayi sedang aktif menyusu. Biarkan bayi menyusu pada sebelah payudara pada satu-satu masa daripada menggilir-gilirkan payudara, agar dia boleh mendapat kedua-dua susu awal dan susu akhir. Susu ibu lebih mudah dihadam berbanding susu formula, maka bayi perlu menyusu lebih kerap jika menyusu susu ibu berbanding susu formula. Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.