Susu ibu mengandungi antibodi yang membantu melindungi bayi daripada jangkitan.  Oleh itu, memulakan penyusuan susu ibu dalam tempoh satu jam pertama kehidupan bayi adalah amat baik. Ibu-ibu yang menyusukan bayi buat pertama kalinya mungkin mendapati bahawa pada peringkat awal, penyusuan susu ibu agak mencabar.  Dengan menyedari apa yang perlu dijangka anda akan mendapati menyusukan bayi ini adalah satu pengalaman yang menggembirakan.

thumb

Bila untuk memulakan penyusuan

Lebih cepat lebih baik

Ibu-ibu harus memulakan penyusuan dalam tempoh satu jam selepas melahirkan bayi.

Sentuhan kulit-ke-kulit antara ibu dan bayi harus dimulakan serta merta selepas kelahiran selama sekurang-kurangnya satu jam.  Ia mempunyai kelebihan berikut:

  • Menjadikan bayi dan anda tenang
  • Memanaskan tubuh bayi dan membantu menstabilkan degupan jantung dan pernafasannya
  • Membolehkan bayi membuat hubungan mata dengan anda. Ini penting untuk mengeratkan ibu dan bayi.
  • Membolehkan bayi mencari payudara dan melekap sendiri, membolehkan bayi cepat belajar menghisap dengan berkesan.

 

Manfaat menyusukan bayi awal

  • Memastikan bayi mendapat kolostrum, juga dipanggil “susu pertama”, yang kaya dengan bahan-bahan yang melindungi daripada jangkitan dan penyakit.
  • Penghadaman dan usus bayi akan terangsang.
  • Kesukaran menghisap boleh dielakkan jika bayi menyusu dengan cara yang betul pada peringkat awal.
  • Hubungan kasih sayang ibu dan anak dipertingkatkan

 

Penyusuan susu ibu selepas pembedahan caesareann

Sekiranya anda melahirkan bayi melalui pembedahan caesarean, bilakah waktu anda boleh menyusukan bayi baru lahir anda bergantung kepada bagaimana keadaan anda dan bayi. Jika kedua-duanya dalam keadaan baik, anda boleh mula menyusukan bayi di dalam bilik pemulihan, sejurus selepas pembedahan.

Jika anda masih lemah atau mamai disebabkan anestesia atau bayi anda memerlukan penjagaan segera di nurseri, anda perlu tunggu dahulu sebelum memulakan penyusuan tetapi anda boleh mula memerah kolostrum dan memulakan proses laktasi. Kolostrum yang diperah boleh diberi kepada bayi baru lahir menggunakan sudu atau picagari sementara menunggu untuk memulakan penyusuan.

Apa yang boleh dijangkakan dalam minggu pertama menyusukan bayi

Cabaran terbesar ialah untuk melalui beberapa hari pertama menyusukan bayi.  Ibu-ibu baharu yang dapat mengatasi tempoh kritikal ini lebih berkemungkinan akan meneruskan penyusuan bagi tempoh yang lebih lama.  Kuncinya adalah untuk bertenang dan bertekad.

 

Apa yang ibu boleh jangkakan:

Semasa minggu pertama kelahiran, anda mungkin mengalami beberapa perubahan drastik pada tubuh anda, dari segi fizikal dan emosi.  Jangan bimbang, masalah-masalah ini berlaku kepada kebanyakan wanita selepas melahirkan bayi.  Ia hanyalah sementara.

 

  • Payudara Bengkak

 

Apabila susu mula-mula mengalir, ia akan menyebabkan payudara anda bengkak, sakit, berdeyut-denyut, keras dan adakalanya serius dan menakutkan.  Ia boleh dielakkan jika anda  menyusukan bayi dengan kerap dan mengikut kehendak.  Elakkan tempoh yang lama di antara penyusuan.  Pada waktu siang, jika bayi anda tidur lebih daripada dua jam, cuba gerakkan dia dan susukan.  Ini membantu mengosongkan payudara sebelum ia menjadi bengkak.

 

Berita baik ialah semua ini tidak berpanjangan.  Rentak bekalan susu anda dan keperluan bayi akan menjadi mantap dalam beberapa hari, dan bengkak serta kesannya akan beransur-ansur hilang.

 

Apa yang perlu dilakukan:  Apabila payudara anda bengkak, ia menjadi sangat keras dan sukar untuk bayi melekap.  Oleh itu, pertama sekali anda hendaklah mengurangkan bengkak dengan memerah keluar sedikit susu menggunakan tangan.  Anda juga boleh meletakkan demahan panas pada payudara atau mandi air panas sebelum memerah, ini akan membantu susu mengalir.  Jika tidak, anda boleh gunakan demahan sejuk selepas menyusukan bayi atau memerah, ini akan membantu mengurangkan bengkak.

 

  • Kebimbangan mengenai bekalan susu

“Susu pertama” iaitu kolostrum, mengandungi antibodi untuk bayi anda, terdapat dalam kuantiti yang sedikit, selepas bayi dilahirkan.  Bayi baru lahir tidak mempunyai selera makan yang kuat atau keperluan pemakanan yang perlu dipenuhi dengan segera.  Perut bayi anda adalah sebesar buah ceri.

 

Selepas 3 atau 4 hari menyusu, payudara akan mula berasa kurang lembut dan lebih keras apabila susu anda berubah daripada kolostrum menjadi susu transisi yang kelihatan seperti susu skim.  Walaupun pada beberapa hari pertama bayi tidak memerlukan apa-apa selain daripada kolostrum, doktor mungkin perlu memastikan bayi mendapat susu secukupnya.

 

Apa yang perlu dilakukan: Susukan bayi dengan lebih kerap, setiap 2 hingga 3 jam.  Jika susu masih belum mengalir dalam tempoh 72 jam selepas kelahiran, anda harus mendapatkan nasihat doktor.

 

  • Susu ibu yang meleleh

Adakalanya, susu ibu mungkin mengalir keluar dari puting tanpa dijangka.

 

Apa yang perlu dilakukan: Apabila ini berlaku, tekan puting dengan tangan anda secara perlahan-lahan tetapi kukuh.  Biasanya ini akan cepat membantu.  Memakai pad payudara akan mengelakkan pakaian anda daripada dibasahi dengan susu ibu.  Memerah sedikit susu juga dapat membantu.

 

  • Puting merekah

Puting yang sakit boleh menjadikan penyusuan susu ibu satu pengalaman yang mengecewakan.  Berita baik ialah kesakitan ini akan hilang apabila anda sudah biasa menyusukan bayi.  Puting akan menjadi lebih kuat dengan cepat dan menyusukan bayi tidak lagi menyakitkan.

 

Namun, kebanyakan kesakitan yang dialami sepanjang penyusuan adalah disebabkan oleh pelekapan yang tidak betul.  Maka, mempelajari teknik melekapkan bayi adalah penting untuk mengelakkan ketidakselesaan dan memastikan bayi mendapat pemakanan yang secukupnya daripada anda.

 

Apa yang perlu dilakukan: Selepas menyusukan bayi, sapukan sedikit susu ibu yang diperah dan pakai coli selesa yang mempunyai aliran udara yang baik untuk membantu memulihkan puting.

 

Apa yang boleh dijangkakan bagi bayi:

Perut bayi kecil dan memerlukan hanya sedikit susu untuk terus sihat. Mereka boleh mendapat susu ibu secukupnya dengan menyusu kerap untuk memenuhi perut mereka yang kecil.  Tiada jadual tetap untuk bayi yang menyusu susu ibu.  Mereka harus menyusu mengikut kehendak, iaitu bila-bila masa mereka lapar atau menunjukkan tanda-tanda lapar.

 

  • Tabiat menyusu
  • Bayi harus disusukan setiap 2 jam (8-12 kali dalam 24 jam). Ini merupakan panduan am.  Bayi yang berbeza mempunyai keperluan yang berlainan.  Pada peringkat awal, terdapat bayi yang mahu menyusu lebih kurang setiap jam.
  • Pada sebelah malam, tempoh antara penyusuan tidak seharusnya melebihi 4 jam.
  • Beri perhatian kepada tanda-tanda bayi anda lapar dan susukan bayi dengan segera apabila diperlukan. Jangan berlengah untuk menyusukannya sehingga bayi anda menangis kerana tangisan adalah tanda terakhir yang menunjukkan bayi lapar.
  • Tanda-tanda awal bayi lapar termasuk:
    • Pergerakan mata meningkat
    • Membuka mulut dan menjelirkan lidah sambil memaling kepala mencari-cari payudara anda.
    • Merengek perlahan-lahan
    • Menghisap tangan, jari atau apa-apa objek yang berdekatan
    • Menangis perlahan-lahan dan semakin kuat. (Tangisan lazimnya adalah tanda lapar yang terakhir.)

 

  • Galakkan bayi anda untuk menyusu seberapa lama yang dia mahu selagi dia masih aktif menghisap. Melepaskan bayi  yang sedang aktif menghisap daripada payudara sebelum dia puas, atau membiarkan bayi tertidur sejurus selepas mula menyusu, boleh menganggu rentak bekalan-dan-keperluan penyusuan susu ibu.
  • Biarkan bayi menyusu sehingga kenyang – pada ketika itu dia mungkin akan melepaskan payudara dengan sendiri.
  • Lebih lama bayi anda menyusu, lebih tinggi kandungan lemak di dalam susu yang dia minum.
  • Tempoh penyusuan yang singkat, dan berjadual tidak memberi peluang kepada bayi untuk menikmati kebaikan susu ibu sepenuhnya dan juga menyebabkan payudara masih penuh dengan susu yang tidak dikeluarkan. Ini akan membuat anda berasa bengkak dan tidak selesa.
  • Jangan berikan puting kosong atau puting tiruan kepada bayi yang menyusu susu ibu kecuali atas nasihat doktor.

 

  • Bagaimana anda boleh tahu sama ada bayi menyusu dengan baik?

 

  1. Perhatikan lampin bayi

Ambil perhatian apabila menukar lampin bayi.  Kekerapan membuang air kecil dan air besar menunjukkan sama ada dia mendapat susu ibu secukupnya.

Perkara yang anda boleh jangkakan adalah seperti berikut:

Pada tiga hari pertama, bayi menyusu kolostrum, maka najisnya lekit dan berwarna hijau-hitam dan membuang air kecil sebanyak 1-3 kali.  Apabila jumlah dan pengambilan susu meningkat, najisnya berubah kepada warna hijau-perang dan beransur-ansur kepada kuning mustard selepas minggu pertama. Kekerapan membuang air besar ialah 3 hingga 8 kali sehari dan amnya kurang kerap apabila bayi semakin besar.

Air kencing hendaklah berwarna kuning cair dan jangkakan bayi membuang air kecil 6 hingga 8 kali (atau lebih) sehari selepas minggu pertama.  Jika anda bimbang, dapatkan nasihat doktor atau jururawat/pakar laktasi.

 

 

  1. Pertumbuhan bayi

Adalah normal jika pada mulanya bayi kehilangan sedikit berat badan.  Penurunan berat badan harus berhenti pada hari keempat, mula naik semula menjelang hari kelima, dan kembali kepada berat lahir tidak melebihi hari keempat belas.  Dapatkan nasihat doktor jika anda bimbang tentang pertumbuhannya.

 

  1. Bayi kelihatan sihat dan tidur dengan baik

Bayi harus tidur dengan baik dan kelihatan sihat serta cerdas apabila terjaga.  Jika bayi menyusu dengan baik, ton ototnya baik dan kulitnya sihat.  Dia akan membesar dengan cepat.

 

  • Bayi menangis

Bayi mungkin kerap menangis.  Terdapat banyak sebab mengapa bayi menangis, bukan sahaja kerana lapar.  Mungkin dia baharu dengan dunia ini dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya, atau dia hanya berasa kesunyian, dan perlukan perhatian dan dibelai.  Sentiasa tenangkan diri anda dan bersabar apabila bayi menangis.  Cuba sedaya upaya untuk mengenalpasti sebab-sebab bayi menangis dan berikan perhatian kepada keperluannya.  Jika anda stres, bayi anda boleh merasanya dan turut menjadi stres.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.