Adakah bayi mendapat nutrien secukupnya?  Bagaimana anda boleh mencegah bayi anda daripada tercekik makanan?  Tip-tip berikut akan memastikan bahawa bayi anda selamat, sihat dan gembira dalam pengembaraannya dengan makanan pepejal…

  • Beri anak anda sukatan dan jenis makanan yang sesuai.
  • Sediakan tekstur dan kepekatan makanan yang sesuai untuk bayi apabila dia membesar.
  • Pastikan makanan bayi disediakan dengan selamat dan bersih

3.2

Makanan pepejal yang mana dan bila?

Tiada makanan pepejal “terbaik” untuk bayi anda.  Bayi anda boleh mengambil hampir semua jenis makanan, selagi amaun dan teksturnya sesuai dimakan dan dihadam mengikut umurnya.  Dapatkan nasihat doktor anda jika anda bimbang tentang sesuatu makanan.

Beri bayi anda pelbagai jenis makanan dan tambahkan kuantitinya secara beransur-ansur untuk memastikan semua keperluan pemakanannya dipenuhi:

  • Beri pelbagai makanan ruji seperti bijirin (beras, gandum, barli, oat) dan ubi-ubian (keladi, kentang, keledek), semuanya sumber baik bagi tenaga dan vitamin.
  • Daging, ayam, ikan atau telur hendaklah diberi setiap hari kerana ia adalah sumber protein, zat besi dan zink (1). Walau bagaimanapun, elakkan putih telur sehingga bayi berumur 1 tahun.
  • Jika susu dan makanan daripada sumber haiwan tidak dimakan dalam amaun yang mencukupi, beri bayi bijirin dan legum (seperti kacang hijau, kacang merah atau dal) di dalam hidangan yang sama.
  • Cuba buah yang berbeza warna (contohnya ciku, betik, buah naga, pisang, dan mangga) dan sayur berdaun hijau (seperti bayam dan sawi putih, kangkung dan sawi), setiap hari.
  • Hadkan jus buah yang diperah segar tanpa gula tambahan kepada ½ cawan sehari. Sentiasa pilih buah segar dahulu  – kulit dan isinya sekali – kerana ia mengandungi serat dan lebih baik daripada jus.

 

Elakkan daripada memberi bayi makanan proses yang tinggi kandungan gula, garam, pewarna tiruan, dan pengawet. Di antara waktu makan, teruskan penyusuan susu ibu mengikut kehendak kerana susu ibu masih menjadi sumber utama bagi tenaga dan nutrien untuk bayi berumur 6 hingga 12 bulan.

Jika keluarga anda mempunyai sejarah alahan, anda mungkin perlu berhati-hati apabila memberi bayi beberapa jenis makanan, seperti telur, ikan, kacang tanah, dan susu.  Anda mungkin ingin memperkenalkan hanya satu jenis makanan baharu pada satu-satu masa dan tunggu beberapa hari (peraturan tunggu 4 hari) sebelum anda menambah satu lagi jenis makanan baharu untuk memastikan bayi anda tidak mendapat reaksi negatif terhadap setiap jenis makanan.  Ini akan dibincangkan dengan terperinci dalam sesi kemudian.

Jangan sedih jika pada mulanya bayi menolak beberapa jenis makanan.  Cuba lagi pada hari lain.  Kajian menunjukkan bahawa bayi-bayi perlu mencuba makanan baharu lebih daripada 10 kali sebelum menerimanya.

 

Makanan yang perlu dielakkan

Elak dari memberi bayi anda minuman yang kurang nilai nutrien seperti teh, kopi, susu pekat manis, sirap, kordial dan minuman berkarbonat.

Beberapa makanan yang tidak sesuai untuk bayi beumur di bawah 12 bulan termasuk:

  • Telur putih – mengandungi komponen alahan yang menyebabkan alahan telur.
  • Madu – terdapat potensi risiko jangkitan bakteria daripada madu.
  • Teh – mengandungi tanin, sejenis bahan yang boleh menghalang penyerapan vitamin.
  • Biji kacang – hendaklah dielakkan kerana bahaya tercekik.
  • Susu kurang lemak – tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 2 tahun.

 

Jadual yang disarankan untuk pemberian makanan pepejal

Kekerapan pemberian makanan pepejal bergantung kepada bayi anda.  Ikut rentak bayi, dan pastikan dia mendapat diet yang seimbang.

Mula-mula beri makanan pepejal kepada bayi anda sekali sehari.  Anda boleh mulakan dengan memberi satu sudu makanan sahaja, sekali selang beberapa hari, terutamanya jika bayi anda enggan makan.  Pada ketika itu, bayi anda mungkin hanya boleh mengambil satu atau dua sudu bijirin beras, pisang lecek atau keledek yang dipuri.  Tetapi, tidak lama kemudian dia akan mula makan lebih banyak.

Anda boleh tingkatkan kekerapan pemberian makanan pelengkap mengikut umur

Age Meal frequency/day Nutritious snacks/day
6-8months 2-3 times 1-2 times
9-11 months 3-4 times 1-2 times
1-2 years 4-5 times 1-2 times

Source: MDGCA(7)
Buat Turun yang Berguna
Pengambilan makanan yang disarankan untuk bayi 6-24 bulan
Contoh Plan Hidangan (6-24 bulan)

(Ingatlah bahawa ini hanya satu panduan.  Sukatan sebenar berbeza mengikut individu bayi.  Sentiasa perhatikan tahap kelaparan bayi, selera makan dan tanda-tanda dia kenyang.  Bayi-bayi pandai mengawal sendiri pengambilan mereka.)

Bagaimana menyediakan makanan bayi dengan selamat

Tekstur dan cara penyediaan makanan bayi perlu diubah secara beransur-ansur apabila dia membesar.  Sebaik-baiknya, makanan bayi sentiasa disediakan segar.

6-8 bulan: Makanan yang dikisar, puri, lecek dan lembut

9-11 bulan: Makanan yang dicincang + makanan jejari seperti hirisan kecil buah yang lembut (seperti pisang dan betik)

12 bulan ke atas: makanan keluarga

Elak daripada menambah garam, gula dan sos-sos (contohnya, kicap) apabila menyediakan makanan untuk bayi anda.

Selain itu, pastikan anda mengamalkan keselamatan dan kebersihan makanan apabila menyediakan makanan bayi untuk mencegah bayi daripada mendapat keracunan makanan.

Berikut adalah beberapa tip untuk mencegah bayi daripada tercekik:

  • Elak daripada memberi ketulan makanan keras berukuran melebihi 0.5sm (1/2 kuku ibu jari) dan awasi kanak-kanak semasa makan bagi mengelak daripada tercekik.
  • Sayur seperti karot, batang saderi dan kacang panjang hendaklah dicincang atau dimasak sehingga lembut.
  • Potong buah seperti anggur menjadi sebesar kacang pis sebelum dihidangkan.
  • Cincang atau potong daging dan keju kecil-kecil .
  • Buang semua tulang pada ikan.
  • Elak daripada memberi bayi makanan berikut
  • Makanan kecil dan keras seperti gula-gula dan biji kacang
  • Makanan lembut dan melekit seperti jeli atau mentega kacang.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada

  1. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
  2. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.