Penyusuan susu ibu mengikut kehendak merupakan kunci untuk memastikan bayi mendapat susu secukupnya dan khasiat yang terkandung di dalamnya.  Susu ibu juga diperlukan oleh bayi untuk mengekalkan hidrasi.  Bayi baru lahir harus dikejutkan dari tidur dan disusukan setiap 3 atau 4 jam bagi sekurang-kurangnya dua minggu pertama, atau sehingga penambahan berat badannya stabil; dan penyusuan susu ibu hendaklah diteruskan walaupun apabila bayi sakit.  Perhatikan najis dan air kencing bayi, serta pertumbuhannya untuk menentukan sama ada dia mendapat susu yang diperlukan.
2.3

Jadual penyusuan susu ibu

Sebagai permulaan, susukan bayi yang baharu lahir setiap 2 jam (8-12 kali dalam 24 jam) dalam 3 bulan pertama. Sesetengah bayi mungkin menyusu beberapa kali dalam tempoh yang singkat, terutama dalam tempoh pertumbuhan yang mendadak. Apabila bayi semakin besar, bilangan penyusuan sehari mungkin menurun atau meningkat.

Setiap bayi adalah berbeza. Susukan bayi mengikut kehendak dan beri perhatian kepada tanda-tanda bayi lapar (contohnya, pergerakan mata meningkat, membuka mulut dan menjelirkan lidah sambil memaling kepala mencari-cari payudara anda, merengek perlahan-lahan, menghisap tangan, jari atau apa-apa objek yang berdekatan). Susukan bayi dengan segera apabila diperlukan. Jangan berlengah untuk menyusukannya sehingga bayi anda menangis kerana tangisan adalah tanda terakhir yang menunjukkan bayi lapar.

Teruskan penyusuan susu ibu apabila bayi sakit. Susu ibu mengandungi antibodi khusus untuk membantu bayi melawan penyakit dan mengekalkan hidrasi.

Kepentingan penyusuan sebelah malam

Penyusuan pada sebelah malam adalah penting kerana hormon yang merangsang penghasilan susu bertindak lebih baik pada waktu malam. Selain itu, bayi baru lahir tidur sehingga 16 jam atau lebih dalam sehari dan hendaklah dikejutkan setiap 3 hingga 4 jam untuk disusukan sehingga peningkatan berat badan mereka mantap – lazimnya dalam tempoh beberapa minggu pertama. Selepas itu, anda boleh biarkan bayi tidur lebih lama.

Kebanyakan bayi yang menyusu susu ibu tidak akan tidur bagi tempoh yang panjang. Ini kerana susu ibu lebih mudah dihadam berbanding susu formula, dan bayi akan cepat lapar semula selepas menyusu.

Amnya, bayi yang baru lahir tidur paling lama antara 4 hingga 5 jam. Jika bayi baru lahir tidur lebih lama, dia mungkin sangat lapar pada waktu siang dan mahu menyusu lebih kerap.

Selepas 3 bulan, secara puratanya jumlah masa bayi tidur pada waktu siang ialah 5 jam, dan 10 jam pada sebelah malam, dengan gangguan satu atau dua kali. Bayi mungkin tidur tanpa terjaga, bermakna 6 hingga 8 jam terus menerus. Namun, ingatlah bahawa ia berbeza-beza mengikut bayi.

Tanda-tanda bayi mendapat susu ibu secukupnya

Terdapat beberapa tanda bahawa bayi mendapat susu yang mencukupi:

Membuang air kecil secara tetap

  • Selepas beberapa hari pertamanya, bayi harus membasahkan 6 lampin sehari dan air kencingnya jernih dan tidak berbau, atau berwarna sangat cerah.  Air kencing yang gelap dan berbau menunjukkan bahawa bayi memerlukan lebih banyak susu dan anda hendaklah mendapatkan nasihat perubatan.

 

Buang air besar secara tetap

  • Najis bayi harus mula berubah warna daripada hijau kepada kuning.  Bayi anda harus membuang air besar 3 kali atau lebih sehari, walaupun dia mungkin kurang kerap membuang air besar selepas berumur satu bulan atau lebih.  Najis normal haruslah berwarna kuning dan lembut.

 

Pertumbuhan yang sihat

  • Dalam minggu pertama, kebanyakan bayi akan kehilangan beberapa gram berat badan tetapi akan meningkat semula ke berat lahirnya menjelang hujung minggu kedua.  Selepas itu, berat badan bayi anda harus meningkat secara tetap.  Pada setiap lawatan ke klinik, berbincang dengan doktor sama ada bayi anda membesar secara normal.
  • Bayi anda harus tidur dengan baik dan mempunya ton otot dan kulit yang sihat.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan bayi dan kanak-kanak, sila rujuk pada
1. MALAYSIA. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA (2013) Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents. Putrajaya: Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition).
2. MALAYSIA. NUTRITION SOCIETY OF MALAYSIA (2011) Breastfeed with Confidence. Petaling Jaya: Mother’s Smart Choice.